Wednesday, 23 April 2014

~ Populariti Akhirat ~


~ Terkadang popular dunia itu menyakitkan,
Popular akhirat itulah yang lebih membahagiakan ~


Fitrah manusia sangat menyukai bila namanya disebut-sebut, dipuji-puji dan diangkat-angkat namanya. Disebabkan itu, manusia cenderung kepada inginkan populariti.

Hari ini, terlalu banyak medan disediakan untuk manusia menjadi popular. Akademi Fantasia, Malaysian's Idol, OIAM dan pelbagai lagi.

Mahu jadi artis? Mahu nama dikenali dan memiliki FB Fan Page sendiri ? ?

Pilih sahajalah . . .



Kita boleh memilih untuk menjadi terkenal melalui medan-medan yang sudah tersedia ada itu.

Kita keluar sebagai artis terkenal melalui Akademi Fantasia, One In Million atau Bintang Mencari Bintang. 

Kita keluar sebagai raja lawak terkenal melalui program Raja Lawak.

Kita akan menjadi popular dan dikenali ramai.

Tetapi, populariti beginikah yang kita mahukan ? ? ?



Populariti yang lebih baik, bagaimana ya ? ?

Saya suka membawa kisah seorang tabiin bernama Uwais al-Qarni yang berasal dari Yaman. Hidup sezaman dengan Nabi SAW tetapi tidak pernah bertemu baginda.

Namanya mungkin tidak begitu dikenali di dunia, tetapi begitu popular di akhirat. Sehinggakan baginda pernah berpesan kepada para sahabat, sekiranya bertemu Uwais, maka mintalah beliau mendoakan untuk mereka kerana doanya makbul.

Umar al-Khattab sendiri pernah meminta Uwais mendoakan untuk dirinya. Bukan calang-calang Uwais ini sehinggakan sahabat yang hebat seperti Umar al-Khattab pun merendahkan diri di hadapannya.

Itu Uwais al-Qarni. Mungkin tidak begitu glamour di dunia, tetapi sangat glamour dalam kalangan penduduk langit.

Kita lihat pula seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Bilal bin Rabah. Seorang hamba berkulit hitam, tidak punya apa-apa di dunia, tiada pangkat dan kedudukan, tiada harta, tetapi namanya dijunjung sampai ke langit.

Modalnya hanyalah keimanan dan suaranya.

Pernah sekali malaikat turun bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah tidak ada solat subuh hari ini:"

Rupanya, tempat Bilal hari itu diganti oleh muazin lain. Bukanlah kerana suara Bilal lebih sedap, cuma mungkin keikhlasan beliau itu menyebabkan suaranya didengari sampai ke langit.

Dan bila digantikan dengan orang lain, suaranya tidak didengari oleh para penduduk langit.

Lihatlah mereka itu. Tidak begitu dikenali di dunia, tetapi begitu terkenal di langit sana.



Uwais al-Qarni dan Bilal bin Rabah itu lebih mengutamakan kedudukan mereka di sana berbanding di sini. Namun, lihatlah. Terkenalnya mereka di atas sana, menyebabkan nama mereka terus popular dalam kalangan penduduk dunia pada hari ini.

Popular dari atas, turun ke bawah.

Maka, apakah salah jika kita mengejar populariti ketika berada di dunia? Sudah tentulah tiada salahnya.

Tetapi cara yang bagaimana dan apa keperluan kita, itulah yang menjadi persoalannya.

Ada orang mahukan populariti dengan cara yang saya sebutkan tadi: sertai AF dan Malaysian's Idol. Hakikatnya, memanglah kita boleh popular melalui cara itu. Tetapi, adakah ia sepadan dengan apa yang Islam mahukan ? ? ?

Kita boleh perhatikan dan nilai sendiri.

Seorang perempuan menyanyi di khalayak ramai dalam keadaan pakaiannya yang tidak menutup aurat dan mendayu-dayu suaranya, sepadankah dengan apa yang ALLAH mahu ? ?

Kemudian, mesej apa yang mahu disampaikan melalui program-program sebegitu? Adakah semakin membawa kita dekat dengan ALLAH atau sebaliknya? Jika populariti sebegitu yang kita maksudkan, itu memanglah salah.



Gunakan populariti kita ini untuk akhirat. Itu tidak ada salahnya.

Tidak ada untungnya jika kita memiliki populariti sehebat mana pun, dikenali seluruh dunia sekalipun, tetapi ia tidak mampu memberi nilai kepada akhirat kita, maka tidak ada maknanya.

Populariti yang bermakna hanyalah bila kita dapat menggunakannya untuk memahamkan manusia tentang Islam. Bila manusia mengangkat-angkat bukanlah diakibatkan ketaksuban terhadap kita, tetapi kerana tertarik dengan pendekatan yang kita bawa untuk kembali kepada - NYA.

Maka populariti ketika itu barulah memberi nilai kepada akhirat kita.

Lihat saja hari ini. Ramai ustaz di negara kita yang begitu terkenal dalam kalangan anak muda. Begitu juga sesetengah artis yang begitu disanjung oleh para peminatnya.

Orang sebegini punya pengaruh yang besar dalam masyarakat. Ideanya ditunggu-tunggu dan kehidupannya menjadi contoh teladan. Disebabkan itulah, pentingnya untuk kita melihat bahawa populariti ini sangatlah penting.

Orang Islam perlukan populariti.

Zaman ini, ketika jahiliah bermaharajalela, kita mahu tokoh-tokoh yang memahami Islam dan iman diangkat supaya dapat menumbangkan pengaruh mereka.

Populariti tidak salah, bila disandarkan pada keimanan dan apa yang ALLAH kehendaki.



Sekiranya kita punya potensi, maka manfaatkanlah untuk membawa manusia kepada ALLAH.

Kita mungkin akan popular atau telah pun popular. Tetapi, pastikanlah populariti itu bernilai untuk akhirat kita. Tetapi tetaplah terus ingat, bahawa populariti yang ada di tangan kita ini perlu dimanfaatkan
di jalan ALLAH.

Kita tidak kejar populariti, tetapi berusaha memahamkan dan mengajak manusia kepada ILAHI. Itu lebih penting.

Sekiranya populariti datang, kita manfaatkan. Kita tidak ambil jika ia tidak bawa apa-apa manfaat untuk akhirat. Kita tidak akan ambil hanya untuk suka-suka.

Populariti, bila mampu memberi nilai untuk akhirat, ia adalah saham yang menguntungkan. Maka, tidak ada salahnya selagi kita memandunya di atas keimanan.

Jangan risau jika kita bukan orang yang popular. Tidak penting menjadi popular di dunia jika tiada manfaat untuk Islam.

Apa yang penting menjadi popular di akhirat. Popular di dunia hanya 60 tahun sahaja lamanya.

Popular di akhirat, bermaksud popular selama-lamanya ! ! !


~ Wallahu'alam ~


No comments:

Post a Comment