Alhamdullilah ! ! ! Sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana membenarkan kita ada di alam dunia ini. Kita dihidupkan dan dimatikan dengan izin - Nya. Kita dipinjamkan jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang telah diperuntukkan Tuan Punya Dunia. Malah, kita sendiri tidak mengetahui bila tiba masanya hal itu. Allah SWT sebaik-baik Pengatur !
Kehidupan kita ini sama seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu seorang pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat menuju ke suatu destinasi abadi dan semestinya memerlukan banyak bekalan. Untuk mendapatkan bekalan itu pula memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi.
Dalam perjalanan ini, kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan, perasaan atau suasana... saat-saat gembira dan kesedihan. Kedua-duanya ini pernah dialami oleh Para Nabi dan Rasul - Nya, apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina. MasyaALLAH ! ! !
Kita ambil contoh terdekat, juga idola semua umat Islam. Manusia yang sungguh dipandang tinggi dan disanjungi... Rasulullah SAW. Hidup baginda penuh dengan saat-saat yang menggembirakan, tidak kurang juga yang menyakitkan di mana sesekali mengundang air mata. Ini menandakan baginda juga seorang manusia biasa. Kegembiraan baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai dengan jalan yang ditinggalkannya. Kesedihan baginda ialah apabila menyaksikan umatnya tersasar jauh dari jalan yang ditinggalkan dan mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.
Tentunya dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi cinta, banyak halangan serta gangguan yang boleh menjejaskan matlamat dan sesekali...terasa ingin berputus asa. Pengembara yang bijak semestinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan dunia yang sementara. Ini kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam yang kekal abadi.. syurga Allah SWT.
Pengembara yang senang dan gembira menikmati keseronokan tanpa memikirkan dunia yang lagi satu akan memuaskan hawa nafsu sepuas-puasnya. Dia seolah-olah terlupa matlamat utama untuk menuju ke dunia sebenar yang abadi. Dia terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Dengan tidak mengendahkan suara iman sendiri, dia terus-menerus meletakkan halawatud dunya di hati dan menyangka itulah matlamat sebenar yang dicari.
Teringat kata-kata seorang ustaz saya, Ustaz Mizi. Beliau berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu, penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda besar yang sedang menuju destinasi berhari-hari, malah bertahun-tahun lamanya.
Sebagai pengembara, kta seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita, Al-Quran dan Sunnah. Untuk sampai ke destinasi abadi pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di dunia sebanyak yang mungkin. Letakkanlah segala keseronokan, kenikmatan serta kekayaan di tangan kita dan anggaplah semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke destinasi cinta.
Lantaran itu, kita seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana bekalan, mana bebanan. Bekalan ialah sesuatu amalan yang memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju ke negeri akhirat. Manakala bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita ke sana.
Ingatlah, dunia ini tempat bercucuk tanam. Hasilnya akan kita kecapi di negeri akhirat kelak.
Persiap dan mantapkan diri kita. Sebagai pengembara yang masih belum tahu bila akan sampai ke destinasi yang dituju, perlulah kita mencari bekalan sebanyak mungkin. Berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang DIA berikan kepada kita.
Wajibnya menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana semua yang ada di muka bumi ini adalah pinjaman - Nya untuk menguji kekentalan iman hamba-hamba - Nya. Begitu juga hubungan kita sesama manusia. Saling berpegangan tanganlah agar tiada yang terjatuh dari kapal dunia tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya.
Masih ingatkah kita pada kisah Rasulullah SAW semasa Israk dan Mikraj? Dalam perjalanan baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru sahaja beberapa saat ditanam, ia terus berbuah lalu dituai dan begitulah seterusnya. Inilah ibarat orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi - Nya. Ganjaran ini akan dinikmatinya di akhirat kelak, InsyaAllah . . .
Semoga kita semua adalah penegmbara yang bijak serta sentiasa meletakkan kenikmatan dunia di telapak tangan dan bukannya di hati. Sentiasa mendoakan dan mengingati setiap pengembara lain di dalam doa. Semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT sebagai tujuan utama. Takbir ! ! !
No comments:
Post a Comment