Cinta seorang lelaki kepada seorang perempuan atau sebaliknya merupakan lumrah. Kerana adanya cinta terhadap lawan sejenis inilah yang menyebabkan kelangsungan hidup manusia terus berlaku. Islam sebagai agama sempurna telah menetapkan kaedah sebenar untuk menyalurkan fitrah cinta mengikut syariat.
Namu, apa yang berlaku kepada kebanyakan remaja hari ini amat bertentangan dengan sempadan yang telah Islam gariskan. Sebahagian besar daripada mereka telah menyalurkan cinta yang disemai melalui jalan yang salah. Fenomena inilah yang telah melanda hampir semua remaja hari ini. Tetapi, bagaimanakah percintaan sebelum pernikahan menjadi sesuatu yang haram?
Fenomena Cinta Remaja
Jika ditinjau fenomena percintaan remaja hari ini, kita akan temui betapa banyaknya amalan dan tingkah laku yang dilarang dalam Islam. Kebanyakan percintaan tersebut akan mendekatkan remaja kepada bahaya zina. Mungkin bermula dengan sembang kosong di dalam sesawang, selepas itu pasti akan disusuli dengan keinginan kuat untuk berjumpa.
Pada awalnya, mungkin kawan diajak untuk menemani apabila berjumpa. Namun, apabila mata bertemu mata, hati kecil pasti berbicara. Kata orang tua-tua dari mana datangnya cinta kalau bukan dari mata turun ke hati?
Kemudian timbul keinginan untuk jalan berdua-duaan pula.
Mula-mula mungkin akan ke tempat terang dan ramai orang. Tetapi, lama kelamaan dibawa ke tempat gelap dan sunyi. Setelah berani bersentuhan, akhirnya diminta membuktikan cinta. Maka berlakulah perzinaan yang dilarang. Nah! Itulah hasil cinta dan kasih sayang yang membelakangi agama. Jangan rasa perkara ini remeh kerana kamu akan menyesal suatu hari nanti.
Haram Mendekati Zina
Allah SWT berfirman,
"Dan janganlah kamu mendakati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Isra':32)
Begitu kerasnya larangan berzina dalam ayat di atas sehinggakan kita ditegah daripada mendekatinya. Larangan bukan sahaja kepada zina itu sendiri tetapi kepada jalan-jalan yang mendekatkan seseorang dengan perbuatan tersebut seperti bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, berjabat tangan dan bersentuhan kulit, berdua-duaan dan semua bentuk perbuatan yang dilakukan dengan lawan jenis yang menjadi perantara kepada zina.
Menundukkan Pandangan
Allah SWT berfirman,
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menundukkan pandangannya dan memelihara kemaluannya." (Surah An-Nuur: 30)
Melalui ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan kaum perempuan dan lelaki beriman supaya menundukkan pandangan apabila bertemu. Menurut Ibnu Katsir, ayat-ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada kaum lelaki dan perempuan beriman supaya menundukkan pandangan daripada melihat perkara haram.
Kita dilarang melihat kecuali terhadap apa yang dihalalkan kepada isteri dan mahramnya, maka perempuan pula dihalalkan kepada suami dan mahramnya. Jika kita melihat sesuatu yang haram (dengan tidak sengaja), maka hendaklah kita memalingkan pandangan dengan segera.
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seorang wanita melihat lelaki lain (selain suami atau mahramnya) samada dengan syahwat atau tanpa syahwat. Manakala sebahagian ulama lain berpendapat tentang bolehnya seorang wanita melihat lelaki lain tanpa syahwat.
Sebuah hadis yang menerangkan tentang pandangan yang tidak disengajakan, daripada Jarir bin Abdillah, beliau mengatakan,
"Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang cuma selintas (tidak sengaja). Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku agar aku segera memalingkan pandanganku." (HR. Muslim no.5770)
Menutup Aurat
"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:
"Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Al-Ahzab: 59)
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman,
"Katakanlah kepada wanita yang beriman:
"Hendaklah meraka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya."
(Surah An-Nuur: 31)
Kebanyakan ulama berpendapat bahawa yang boleh diperlihatkan oleh seorang perempuan ialah wajah dan kedua telapak tangannya sahaja.
Larangan Berdua-duaan
Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda, "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali jika bersama mahramnya." (HR. Bukhari, no. 5233)
Rasulullah SAW bersabda,
"Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya kerana sesungguhnya syaitan adalah orang ketiga di antara mereka berdua kecuali apabila bersama mahramnya. (HR. Ahmad no. 15734)
Larangan Berjabat Tangan
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda,
"Setiap anak Adam telah ditakdirkan bahagian untuk berzina dan ini suatu yang pasti terjadi, tidak boleh tidak. Zina kedua mata adalah dengan melihat. Zina kedua telinga dengan mendengar. Zina lisan adalah dengan berbicara. Zina tangan adalah dengan meraba (menyentuh). Zina kaki adalah dengan melangkah. Zina hati adalah dengan menginginkan dan berangan-angan. Lalu kemaluanlah yang nanti akan membenarkan atau mengingkari yang demikian."
(HR. Muslim no. 6925)
Melalui hadis di atas, menyentuh lawan jenis iaitu yang bukan mahram adalah diistilahkan dengan zina tangan. Perbuatan berjabat tangan dengan yang bukan mahram adalah satu langkah yang menjadi perantara kepada zina yang hakiki.
Justeru, berusahalah menjauhi perbuatan zina walau ia dikatakan remeh. Hakikatnya yang remeh itulah yang selalunya membawa kita ke gerbang neraka.
Wallahu a'lam . . .
No comments:
Post a Comment