Tuesday, 15 April 2014

Langkah


Ini Langkahku ! ! !

~ Meski sesudah apa pun, akan ku terus gagahi dan langkahi ~



~ Lagu Ini Langkahku ~


Saya terdorong untuk menulis tentang tajuk ini setelah terdengar salah satu lirik lagu Shoutul Harakah yang bertajuk "Ini Langkahku".

Lagunya bersemangat. Ya, sesiapa yang pernah mendengarnya pasti akan terdorong untuk melompat - lompat atau paling kurang, menghayunkan tangan. Begitulah reaksi kali pertama saya mendengar lagu ini.

Rasa bersemangat dan tidak boleh duduk diam. Sesuai pula dengan nama kumpulan nasyidnya, Shoutul Harakah. Harakah itu bermaksud sentiasa bergerak, tidak duduk diam.

Rasa bersemangat ini, tidak dapat tidak, ada kaitan yang sangat dekat dengan jiwa anak muda. Betul, bukan?

Bagaimana biasanya jiwa anak muda?

Jiwa anak muda yang mengalir di dalamnya darah panas, sentiasa bersemangat melakukan sesuatu yang diminatinya. Tenaga dan kudratnya yang masih banyak.


Begitulah Masa Muda Harus Diisi

Semangat, tenaga dan kudrat pada masa muda tidak harus dibazirkan dengan hanya menghabiskannnya untuk tidur berjam-jam, bermain game, menonton filem tanpa menghasilkan apa-apa karya atau produk.

Sedangkan pada masa inilah peluang untuk kita melakukan kebaikan cukup banyak.

Masa muda yang terabai dan terbazir dengan perkara-perkara yang sia-sia akan membawa kita kepada kerosakan.

Semangat dan kudrat yang banyak, sekiranya tidak diarahkan pada kebaikan, maka ia akan menjadi begitu cenderung ke arah kemaksiatan serta kerosakan.

Begitulah syair Imam Syafie menukilkan:

"Sungguh aku melihat diamnya air merosakkannya,
Bila bergerak ia jernih,
Bila tidak bergerak ia tidak menyihatkan,
Dan singa yang tidak tinggalkan sarangnya tidak akan mendapat mangsanya,
Dan panah yang tidak terlepas dari busurnya tidak akan mengena,
Dan matahari yang tetap pada paksinya,
tentu akan membosankan manusia,
Baik dari ajam (bukan Arab) mahupun Arab,
Dan biji emas tidak ada bezanya dengan tanah saat bercampur keduanya,
Kayu gaharu berserakan di tanah pun umpama kayu bakar."



Teruskan Langkah, Hayunkan Tangan Tanpa Henti

Maka, menyahut seruan semangat pada waktu muda ini, kita harus terus meneruskan langkah memanfaatkannya.

Mustahil langkah ini dapat diatur jika perancangannya sahaja belum ada. Bagaimana mahu melangkah tanpa mengetahui apa yang diinginkan?

Justeru, kita harus bersegera memulakan perancangan untuk masa hadapan.
Apa yang kita mahukan daripada apa yang sedang kita lakukan saat ini?
Apa yang kita harapkan pada diri sendiri?

Perancangan ini sudah tentulah menjadi tidak seimbang dan kurang sempurna jika kita hanya merancang untuk memenuhi keperluan kudrat serta tenaga zahir sahaja.

Ada beberapa aspek perlu diberi penumpuan, antaranya:

  • Aspek Kerohanian
Hubungan dengan ALLAH adalah rahsia kekuatan sebenar kita. Benar, tenaga muda itu memang satu kekuatan. Tetapi itu sahaja tidak akan mampu menampung kehidupan kita, baik di dunia mahupun di akhirat. Disebabkan itu, kita sangat memerlukan ALLAH dalam segenap kehidupan. Maka, aspek ibadah dan zikir adalah sangat penting untuk kita berikan perhatian.

  • Aspek Keilmuan
Semangat dan kudrat sahaja tidak cukup untuk memandu kita di atas jalan kebenaran. Kita mesti memiliki kemampuan dari sudut keilmuan.

Ilmulah yang akan membantu kita membina prinsip dan cara berfikir.

Aspek keilmuan ini tidak cukup dipenuhi dengan hanya mendengar kuliah-kuliah di universiti dan masjid semata-mata. Tetapi perlu juga melazimi diri dengan membaca buku-buku dan bahan bacaan luar daripada apa yang kita pelajari.

  • Aspek Kemahiran Semasa
Pembentukan pelbagai kemahiran seperti bercakap di hadapan, kemahiran komunikasi, pembinaan kumpulan, kemahiran mempengaruhi dan kemahiran menulis. Semua ini sangat penting dalam memenuhi aset yang diperlukan umat.

  • Aspek Pembinaan Masa Hadapan dan Cita-cita
Jangan jadi anak muda yang kosong. Tetapi jadilah yang punya cita-cita dan wawasan masa hadapan.

Tiada hala tuju dan tidak tahu apa yang mahu dicapai menjadi penyakit kronik yang mengakibatkan segala usaha kita menjadi sia-sia. Ataupun menyebabkan kita duduk selesa tanpa berusaha sesungguhnya bagi mencapai apa yang diperlukan.

Benar, masa hadapan itu dalam ketentuan ALLAH. Tetapi rancanglah ke arah itu.

Apa yang berada di dalam ketentuan ALLAH itu, tiada siapa yang tahu. Selain menjadi anak muda yang berwawasan, ia akan menjadi pemangkin kepad diri kita unyuk melangkah dengan penuh kesungguhan.



Kita Sumbangkan Untuk Islam

Apakah yang lebih besar dan lebih mulia daripada memberikan sumbangan terhadap Islam?

Tenaga muda yang ada, semangat, kudrat dan kemampuan, kita sama-sama kerahkannya untuk pembangunan Islam.

Kita bersungguh-sungguh pada masa muda, membina diri kita, membangunkan prestasi dan meningkatkan ilmu, bukanlah kerana kepentingan diri semata-mata. Tetapi agar di kemudian harinya umat boleh merasai manfaat dengan kehadiran kita ini.

Kita serius membina cita-cita dan masa hadapan kita, bukanlah kerana ingin mengaut kepentingan duniawi. Tetapi supaya kelak umat memiliki orang-orang yang hebat dan amanah untuk membimbing perjalanannya.

Katakanla: "Ini jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada ALLAH di atas hujah-hujah yang nyata. Maha Suci ALLAH dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik."
(Yusuf: 108)


Ini LangkahKu ! ! !

Derapan langkah di atas dunia yang singkat ini tidak akan membuatkan kita rambang mata sehingga tewas ketika berhadapan dengannya.

Benar, ujian di dalamnya sangat kuat. Ujian harta, ujian kedudukan, ujian wanita, ujian kesusahan, ujian kesenangan dan sebagainya. Siapa yang tahan ? ? ?

Tetapi sesungguhnya langkah yang disertai oleh Allah itulah yang akan menjadikan kita lebih kuat daripada ujian-ujian ini.

Berapa ramai orang soleh yang mendahului kita, langkah mereka tegar dan tetap di atas jalan yang diredhai oleh - NYA Yang Maha Esa.

Mereka berusaha membangunkan diri, mengusahakan sesuatu untuk umat dan terus-menerus berjuang meskipun banyak tentangan yang menghalang.

Ini langkah yang mahu dicorakkan untuk diri kita.

Hidupkanlah roh perjuangan dalam kehidupan. Kerana tanpa perjuangan dan punya banyak kerehatan, apalah ertinya pada kehidupan itu.

Berjuanglah pada masa muda kita.

Kudrat kita, kekuatan kita, rupa kita dan kemampuan kita. Mari kuta manfaatkan semuanya untuk pelaburan saham yang berkekalan sehingga ke akhirat sana.

Biar di sana, masa muda menjadi saham paling memberansangkan, bukan sebaliknya. Biar di sana, masa muda menjadi bukti bahawa diri kita telah melakukan yang terbaik untuk deen ini, untuk Islam.

Ini Langkahku !





No comments:

Post a Comment