~ Ubahlah apa yang ada pada diri kamu ~
Bila hatimu mula jatuh cinta
untuk merasai kelazatan dosa yang seketika,
ingatlah lamanya api neraka
yang akan meratah tubuhmu di sana.
Bila hatimu mula merasai bosan
untuk meneruskan amal kebaikan yang seketika,
ingatlah abadinya nikmat syurga yang akan
melayanimu di sana.
Umur dunia ini sangat singkat.
Ruginya jika masa sesingkat ini
membawa fitnah kepada kita di akhirat sana.
Muhasabah perjalan hidup.
Perbaikilah !
Semua orang boleh berubah. Tinggal yang tidak mahu sahaja. Mencari alasan yang akhirnya menjadi penghalang dan penyekat kepada perubahan diri.
Daripada yang kurang baik kepada baik. Dari malas menjadi rajin. Dari seorang yang suka bertangguh dalam kerja, bertukar menjadi orang yang menepati waktu menyiapkan kerja.
Kita mampu ubah semua itu. Tinggal lagi, selesanya kita dengan kehidupan yang dinikmati telah menyebabkan kita rasa susah untuk keluar darinya.
Bukan senang. Sudah biasa dengan kehidupan begitu. Tiba-tiba hendak ubah kepada kehidupan yang baru. Sejak kecil sudah dibiasakan dengan kehidupan sebegitu.
Ada yang sudah biasa dengan hidup mencuri. Maka, dia membesar dalam keadaan sikap itu masih melekat pada dirinya.
Ada orang yang membesar dalam keadaan menipu. Maka, dalam kehidupannya menipu itu kadang-kadang menjadi perkara yang biasa.
Ada orang yang membesar dalam keadaan hidupnya hanya menerima arahan. Disuruh buat itu, dia buatlah itu. Dia membesar dalam keadaan tidak pandai berfikir dan menguruskan kehidupannya.
Dalam kehidupan ini, majoriti kita membesar mengikut suasana kita dibesarkan. Kita menjadi apa dan bagaimana kehidupan kita berjalan, adalah mengikut acuan yang dicorakkan ke atas diri kita.
Disebabkan itu, kehidupan yang telah lama menjadi darah daging kita, susah sekali untuk ditinggalkan kerana kita telah selesa dan serasi dengannya.
Meninggalkan keselesaan ini adalah satu kepayahan. Tetapi, ia bukanlah mustahil, hanya perlukan kesungguhan.
Mustahil kita akan menjadi lebih baik jika kita tidak berusaha menggerakkan diri menempuh kepayahan.
Sedangkan jika mahu berjaya dalam peperiksaan pun, perlu angkat pensil dan ulang kaji pelajaran. Takkanlah jika mahu melakukan perubahan sikap, dari kurang baik menjadi lebih baik, kita buat sambil lewa sahaja?
Kereta mustahil akan bergerak, jika tiada yang memandunya. Kayu pun mustahil bernilai tinggi jika tidak diproses.
Maka, diri kita lebih-lebih lagilah. Mustahil kita akan menjadi lebih baik dan bernilai jika kita sendiri tidak berusaha ke arahnya.
ALLAH berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya ALLAH tidak akan ubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka. (ar-Ra'du: 11)
Maka, bagaimana caranya untuk mengubah apa yang ada pada diri sebagaimana yang ALLAH sebutkan itu?
Sering kita bertemu dengan orang yang menyalahkan takdir sebagai penyebab buruknya kehidupan yang dimilikinya.
"Dah takdir aku macam ni. Nak buat macam mana."
"Ah, dah takdir aku jadi jahat. Takdir, mana boleh ubah. Jika takdir aku jadi baik, aku jadi baiklah."
Kepada golongan sebegini, mari bertanya kepada mereka.
"Dari mana mereka tahu tentang ketentuan takdir?"
"Dari mana mereka tahu apa yang telah ALLAH tuliskan untuk kehidupan mereka, semalam, hari ini dan esok?"
Sedangkan Rasulullah S.A.W pun tidak tahu takdir hidupnya; apa yang akan terjadi kepadanya pada hari ini dan esok, bahkan apa yang telah berlaku kepada dirinya semalam pun, bukanlah dalam pengetahuannya.
Justeru, bagaimana mungkin seorang manusia biasa menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya?
Maka, di sinilah jawapannya.
Kita tidak disuruh merungkai takdir ALLAH. Bukan itu kerja kita. Tetapi yang disuruh adalah merungkai apa yang ada dalam diri kita.
Kita tidak disuruh mengubah takdir kerana memang kita tidak mampu dan memang tidak tahu pun.
Tetapi, yang kita mampu lakukan adalah, mengubah apa yang ada pada diri kita. Sikap kita, kesungguhan kita, itu yang boleh kita ubah. Maka, ubahlah yang itu dulu.
Tidak perlu cakap banyak, cuma perlu bangun dan gerakkan diri untuk ubah apa yang ada dalam diri.
Mengapa Rasulullah S.A.W berpenat-lelah berusaha berdakwah sehingga pernah terluka dan hampir terbunuh?
Mengapa Abu Bajar al-Siddiq mengerah sepenuh tenaga dalam menyebarkan dakwah Islam sehingga dirinya pernah dipukul dengan begitu teruk sekali?
Tidak lain kerana mereka pun tidak tahu apakah takdir ke atas umat ini. Apa yang telah ditentukan oleh ALLAH, hanyalah dalam pengetahuan - NYA.
Tetapi yang pasti, dengan segala tenaga dan kudrat yang ada, maka yang itu adalah apa yang masih boleh diguna pakai serta mampu diubah mereka.
Mereka berusaha kerana tidak mengetahui ketentuan ALLAH ke atas mereka. Jika sudah tahu, maka mereka tidak perlu berpenat-lelah dan berdarah-darah, semata-mata untuk menyebarkan dakwah Islam.
Boleh sahaja Nabi S.A.W meminta kepada ALLAH supaya memenangkan terus dakwah Islam itu. Tetapi bukan itu yang baginda lakukan.
Baginda bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kita juga melihat, mengambil iktibar serta melakukan yang sama dalam kehidupan kita.
Kita sepatutnya berasa lebih malu dengan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka itu ada yang memilih Islam dalam keadaan keluarga sendiri memulaukan dan menyeksa mereka.
Kita ini perlu lakukan sedikit sahaj perubahan. Dari kurang baik menjadi lebih baik. Bahkan, tidak ada pun yang mahu menyeksa kita.
Paling maksimum pun, kita akan dikutuk dan dicaci sahaja. Malangnya, itu sahaja pun sudah menghentikan usaha-usaha kita melakukan perubahan.
Maka, kita perlu muhasabah dan koreksi diri semula.
Bergerak lakukan perubahan dengan segera.
Kerana sungguh takdir terletak di hujung usaha.