~ Selagi belum mati atau kiamat, tidak ada istilah terlewat ~
Mereka bercerita akan indahnya dunia,
Kata mereka aku rugi meninggalkannya,
Tapi jiwaku saban hari makin hilang dahaga,
Bila ia tidak lagi berada dalam jiwa.
Dari hujung timur ke barat dunia,
Perjalanannya cuma seketika tidak lama,
Apa ada harapan pada tanah yang cuma sekangkang kera,
Kalau hanya membuat dirimu semakin terluka?
Aku dan kau akan sirna,
Tanah ini akan kita tinggalkan jua,
Apa ada sebening syafaat dengannya di syurga sana,
Saat diriku dimampir murka - NYA?
Justeru aku tidak pernah merinduinya,
Biarkan tanganku mengawalnya,
Asal hatiku tetap berpunya pada DIA,
Kerna cinta dan rinduku bukan untuk yang fana,
Tetapi buat yang abadi selamanya.
Inilah cinta tulus dari jiwaku,
Bukti kecil bahawa aku adalah perindu - MU!
Terkadang, kita merasakan diri ini begitu terlewat untuk berubah. Melihat rakan-rakan lama yang sedang maju begitu jauh di hadapan, kita rasa seolah diri ini begitu ketinggalan.
Kita rasa terlalu lambat untuk mengubah diri. Sudahlah lambat, harus pula bermula dari bawah semula.
Tetapi, benarkah kita ini telah terlewat?
Abu Sufyan, seorang sahabat yang lambat menyertai kafilah Islam bersama baginda dan para sahabat lain.
Sebelum bersama Rasulullah S.A.W, beliau adalah salah seorang penentang setia baginda. Beliau terlibat dalam usaha melemahkan dakwah dan pelbagai lagi pengkhianatan terhadap baginda.
Lihatlah. Beliau bukan sahaj lambat menyertai kafilah Islam, bahkan pernah terlibat dalm usaha penentangan terhadap baginda sendiri.
Dalam keadaan begitu pun, baginda sangat menyambut baik keislaman Abu Sufyan. Lihat sahaja ketika peristiwa Fathul Makkah, baginda sangat meraikan Abu Sufyan.
Jika difikirkan logik akalnya, untuk apa orang lain pergi ke rumah Abu Sufyan jika masing-masing sudah mempunyai kediaman sendiri? Tetapi, itulah kebijaksanaan dan kasihnya Rasulullah S.A.W meraikan perubahan Abu Sufyan.
Belum terlambat jika kita ingin berubah. Belum terlewat.
ALLAH itu Maha Luas Rahmat - NYA. Selagi masih ada keinginan dan kesungguhan untuk menjadi manusia yang lebih baik, maka sejahat apa pun kita ini, sebenarnya masih ada tempat untuk kita di sisi ALLAH.
ALLAH tidak pernah menutup pintu rahmat - NYA untuk hamba-hamba - NYA mahu kembali kepada - NYA. Melalui sifat Ar-Rahim dan Ar-Rahman - NYA yang tidak berbelah bagi, DIA membuka seluas-luasnya pintu untuk manusia kembali kepada - NYA. Pintu keampunan dan rahmat - NYA terbuka seluas-luasnya untuk kita semua.
ALLAH tidak pernah menyisihkan hamba - NYA yang menderhaka atau melakukan maksiat bila dia itu ingin kembali kepada - NYA.
Tidak. Tidak pernah sesekali.
Selagi mana kita benar-benar ikhlas untuk dekat dan pulang kepada ALLAH, berubah ke arah yang lebih baik, maka DIA pasti tidak akan pernah membiarkan kita.
Sejahat mana pun kita, sebesar apa pun dosa yang dibuat kita, sejauh mana pun kita daripada ALLAH, namun selagi tidak mensyirikkan - NYA dan ikhlas untuk kembali kepada - NYA, maka pastilah DIA tidak akan menyisihkan kita.
Lambat atau cepat bukan masalahnya. ALLAH tidak melihat kepada perkara itu. Ada yang lebih terkemudian menjadi orang yang baik, bahkan tidak sempat beramal pun. Tetapi mendapat ganjaran serta kedudukan yang hebat di sisi - NYA.
Kisah seorang anak muda yang telah membunuh 99 orang dicampur dengan seorang alim menjadikan pembunuhannya genap seratus itu adalah bukti kepada hal ini. Bukan sedikit orang yang dibunuhnya.
Tetapi pada akhir hidupnya, ketika mana belum sempat tiba ke destinasi hijrahnya yang baru, dia telah terpanggil pulang bertemu ALLAH. Di antara dua jarak perjalanan, dalam keadaan belum sempat berbuat apa-apa kebaikan, tetapi betapa luasnya rahmat ALLAH sehingga beliau itu akhirnya mendapat tempat yang tinggi di sisi ALLAH.
Terlewatkah dia?
Tidak. Dia tidak terlewat.
ALLAH masih sudi melihat kita sebenarnya.
ALLAH tidak pernah mengalihkan perhatian - NYA kepada hamba-hamba - NYA. Apatah lagi jika hamba - NYA itu benar-benar ingin kembali dan membersihkan diri di hadapan - NYA.
Janganlah pernah rasa terlewat kerana kita belum terlewat sebenarnya.
Selagi mana masih ada perasaan dan keinginan untuk berubah dalam diri kita, bersegeralah. ALLAH sentiasa menerima hamba - NYA yang ingin kembali kepada - NYA.
Bukanlah awal atau lewat yang menjadi persoalan utama selagi mana kita ikhlas serta benar-benar ingin mengubah diri kita dan kembali kepada - NYA.
Kembalilah . . .
Kerana ALLAH sentiasa sudi menerima kita.
No comments:
Post a Comment